LATARBELAKANG SEJARAH KKB

Home / LATARBELAKANG SEJARAH KKB

Sejarah Kuala Kubu adalah antara sejarah yang paling menarik dalam negeri Selangor. Kuala Kubu dan kawasan sekitarnya diketahui telah didiami oleh manusia semenjak zaman neolitik lagi sehingga ke zaman gangsa, Kuala Kubu adalah merupakan lombong dan sumber bijih timah yang menyumbangkan kepada pembuatan peralatan berasaskan gangsa.

Kuala Kubu juga menyaksikan simbol kehebatan keupayaan kejuruteraan orang Melayu sebelum revolusi industri yang dibawa oleh orang Inggeris. Mereka mampu membina empangan yang besar, yang bukan sahaja berfungsi sebagai reservoir untuk penternakan ikan dan sumber air, malah ia juga fungsi utama sebagai alat perlombongan untuk mengumpulkan bijih timah di dasar sungai. Kuala Kubu juga pernah menjadi medan dan kancah perang saudara Selangor yang berlangsung dari tahun 1869-1875.

Secara umumnya sejarah Kuala Kubu boleh dibahagi kepada 3 fasa:
1. Era sebelum Ampang Pecah 1883
2. Era zaman kolonial 1883-1931
3. Era Kuala Kubu Bharu pasca 1931

Pada abad ke 18 lagi Kuala Kubu yang lebih dikenali dengan nama Hulu Selangor telah menjadi kawasan yang penting oleh kerana aktiviti perlombongan bijih timah mungkin telah bermula semenjak dari zaman gangsa lagi. Orang Melayu tempatan, orang Rawa dan Mendailing datang berhijrah ke daerah ini untuk mencari rezeki dengan aktiviti perlombongan secara tradisional. Setelah sekian lama melombong bijih timah, orang Melayu mula memikirkan cara paling mudah dan cepat untuk mendapatkan bijih timah. Akhirnya mereka memutuskan untuk membina empangan yang merentasi Sungai Kubu pada sekitar tahun 1780an. Tanpa bantuan teknologi moden orang Melayu dengan pertolongan orang Asli tempatan berjaya membina empangan kukuh yang panjangnya ialah 1.6 km dan lebarnya 90-100 meter dengan hanya menggunakan kayu dan tanah. Apabila empangan telah penuh, air yang melimpah disalurkan menjadi air terjun yang deras arusnya. Maka tanah-tanah yang mengandungi bijih dicampakkan ke dalam arus deras ini. Lumpur dan tanah akan hanyut manakala ketul-ketul bijih timah yang berat akan mendap ke dasar sungai untuk digali kemudiannya.
Begitulah teknologi orang Melayu zaman itu tanpa perlu pam elektrik untuk menjadikan bijih timah sebagai eksport utama yang keluar melalui Kuala Selangor. Saudagar-saudagar Bugis menjadi peraih dan pengeksport utama bijih timah ini sehingga pada satu masa mendatangkan irihati pihak Belanda dan mereka pernah membina kubu di Kuala Selangor untuk mengawal bijih timah.

Perang Saudara Selangor juga menyaksikan kawasan Kuala Kubu menjadi kawasan pertahanan dan kubu kuat buat Syed Mashor (Sayyid Masyhor) sekutu Raja Mahadi.
Syed Mashor dengan bantuan ketua perang Cina yang bernama Chong Chong, telah berjaya mengumpulkan 2,500 orang angkatan perang yang terdiri daripada orang Melayu dan China. Pasukan Tengku Kudin telah cuba menyerang kubu-kubu Syed Mashor tetapi gagal. Dari kubu-kubu yang dibina oleh Syed Mashor inilah Kuala ‘Kubu’ mendapat namanya.

Syed Mashor hanya dapat dikalahkan oleh pasukan perang dari Pahang yang diminta oleh Tengku Kudin untuk menyerang Kuala Kubu. Akhirnya Syed Mashor berundur dan mendapat perlindungan di Istana Perak. Maka selepas kekalahan Syed Mashor, sekitar awal 1870an, Kuala Kubu atau Ulu Selangor telah menjadi jajahan bawah pentadbiran Pahang. Tengku Kudin telah menyerahkan daerah ini kepada Bendahara Wan Ahmad sebagai balasan pertolongan pasukan perang Pahang dan untuk membayar perbelanjaan perang yang telah dikeluarkan dahulu oleh Pahang.

Sedutan dari buku ‘Tarikh Kuala Kubu 1780-1931’
Boleh didapati dari Galeri Seni & Sejarah KKB, Jalan Syed Mashor